Wednesday, October 24, 2007

PEMBANGUNAN

Pembangunan merupakan satu proses berterusan yang dijalankan di segenap negara di dunia. Melalui pembangunan sesuatu negara akan diiktiraf. Malaysia juga tidak terkecuali dalam melakukan pembangunan. Pembangunan boleh dibahagikan kepada dua iaitu pembangunan material dan non-material.

Pembangunan material lebih kepada pembangunan bandar atau wilayah. Sesuatu kawasan yang dahulunya kampung telah melalui proses pembangunan dan seterusnya telah diiktiraf menjadi bandar. Infrastuktur yang terdapat di sesutau kawasan membolehkan kawasan tersebut diiktiraf sebagai bandar. Contohnya bandar Kota Tinggi, oleh kerana terdapat banyak kemudahan seperti pejabat-pejabat kerajaan, sekolah dan lain-lain kemudahan Kota Tinggi telah diiktiraf sebagai bandar Kota Tinggi.

Sesuatu pembangunan akan dilakukan secara berperingkat kerana proses ini memakan masa yang panjang. Jika dahulu ianya hanya sebuah kampung, maka pembangunan yang pertama dijalankan ialah sekolah dan seterusnya lain-lain kemudahan yang dapat memberikan kebajikan kepada penduduk setempat.

Selain itu, pembangunan juga melibatkan aktiviti ekonomi yang dijalankan di sesuatu kawasan tersebut. Jika aktiviti ekonominya maju dan kukuh, maka kawasan tersebut akan diiktiraf sebagai bandar seiring dengan proses pembangunan yang dijalankan.

Manakala pembangunan non-material pula melibatkan pembangunan yang bersifat bukan kebendaan. Contoh pembangunan non-material ialah peningkatan dalam tahap pendidikan serta pembangunan dalam penyelidikan dalam pelbagai bidang yang dijalankan. Penubuhan institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia iaitu sama ada institusi pengajian tinggi awam atau swasta menunjukkan negara Malaysia sedang mengalami proses pembangunan.

Banjir : Tiada Gelombang Ketiga

Oleh: NURUL HUDA HASSAN

PULAU PINANG 16 Jan. – Gelombang ketiga banjir di Johor dijangka tidak berlaku kerana hujan lebat yang berlaku beberapa hari lalu diramal tidak akan berterusan terutama menjelang akhir bulan ini.

Pensyarah Geografi dan Hidrologi Pusat Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, Dr. Main Rindam berkata, banjir buruk ketika ini yang berpunca daripada fenomena cuaca melampau, akan berakhir dalam beberapa hari lagi.

‘‘Apabila masuk Februari, negara kita sudah panas berikutan perubahan suhu Khatulistiwa dalam sistem monsun dan ini bermakna, gelombang ketiga tidak akan berlaku.

‘‘Hujan di Johor adalah satu kejadian ekstrem yang terjadi disebabkan gelombang pertama memang dipengaruhi oleh angin monsun timur laut dan kedua disebabkan wujudnya angin panas daripada Khatulistiwa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Menurutnya, kedudukan Johor yang terletak di penghujung Banjaran Titiwangsa menyebabkan angin panas Khatulistiwa berpotensi bertembung dengan angin sejuk dari Siberia sehingga menyebabkan hujan terlalu lebat yang menjadi punca kepada banjir buruk kali ini.

Sebanyak 109,000 mangsa banjir dipindahkan di Johor kelmarin, menjadikan bencana alam itu sebagai antara paling buruk berlaku dalam sejarah negara sehingga menyebabkan kerajaan bersedia mengisytiharkan darurat sekiranya keadaan menjadi semakin teruk.

Bagaimanapun, jumlah mangsa itu berkurangan kepada 87,000 orang pada petang ini.

Dalam pada itu, Main turut menyalahkan sistem perparitan serta pembangunan yang tidak terancang menjadi punca utama banjir teruk berlaku di Johor kali ini terutama di Kota Tinggi.

Beliau yakin 60 hingga 70 peratus banjir disebabkan kegagalan menyediakan sistem perparitan yang sempurna dan mampu meminimumkan kesan bencana alam itu seperti yang dibuktikan Singapura walaupun turut menerima hujan yang lebat.

‘‘Pengurusan sistem saliran yang tidak betul, sistem sungai yang tidak bagus serta perancangan pembangunan yang tidak bijak menjadi punca utama berlakunya banjir teruk itu.

‘‘Jika kita lihat, sesebuah kawasan itu dibangunkan secara kluster iaitu secara berunit-unit dan ia tidak berpandukan kepada satu sistem di mana satu pelan menyeluruh melibatkan semua tempat mengikut piawaian yang sama disediakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar negara mempunyai pihak pengurusan yang seragam bagi memastikan susun atur pembangunan dibuat dengan mengambil kira bentuk muka bumi serta laluan aliran sungai dan bukannya secara sesuka hati.

Beliau memberikan contoh bagaimana banjir tidak pernah berlaku di Venice di Itali yang juga dibina di kawasan perairan kerana pembangunan di kawasan itu dibuat secara terancang dengan mengikut aliran sungai sedangkan projek pembangunan di negara ini tidak mengambil kira aspek berkenaan.

Sehubungan itu, pihak yang ingin membangunkan sesuatu kawasan itu diingatkan supaya mengambil kira faktor alam.

‘‘Sebagai contoh, jika ingin bangunkan kawasan rendah, infrastrukturnya perlulah mengikut piawaian kemungkinan berlaku banjir seperti bangunan yang bertiang,” ujarnya.

Johor Siap Siaga Hadapi Banjir

SUDAH tentu tiada sesiapa pun menginginkan dua banjir besar yang melanda pada penghujung tahun lepas dan awal tahun ini berulang. Pengalamannnya sungguh memeritkan manakala kerugian yang dialami amat besar jumlahnya.

Memang benar kita tidak dapat menahan hujan lebat dan berterusan namun kita diberi akal untuk mengurus limpahannya. Bertolak daripada itu, Johor mengorak langkah awal membuat persiapan agar lebih bersedia menghadapi kemungkinan berulangnya bencana berkenaan.

Semua kelemahan daripada pengalaman lalu dianalisa dan dirumuskan dengan langkah-langkah penting mengatasinya termasuklah daripada segi logistik, usaha menyelamat, pengurusan pusat pemindahan, bekalan makanan dan operasi bilik gerakan serta pengumpulan maklumat.

Semua ini diperincikan dalam Seminar Pengurusan Bencana Negeri Johor yang dihadiri Menteri Besar sendiri, wakil-wakil rakyat, jentera pentadbiran Kerajaan Negeri, Polis, Tentera, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan kepimpinan pada peringkat akar umbi.

Ia dianjurkan bagi memastikan sekiranya sudah tertulis negeri ini, sekali lagi diduga dengan musibah seperti itu, situasi akan menjadi lebih tersusun, keperluan mangsa serta logistik mencukupi, kehilangan nyawa dapat dielak, kerugian dapat dikurangkan selari dengan kata pepatah "sediakan payung sebelum hujan".

Banjir besar itu telah menyebabkan kemusnahan harta benda dan infrastuktur awam yang dianggarkan bernilai RM1.5 bilion dan kini, kerja-kerja pemulihan sedang giat dijalankan.

Turut dicadangkan pada bengkel itu ialah pusat pengurusan dan penyelarasan sumbangan kepada mangsa serta mewujudkan pusat koordinasi bantuan dan sumbangan selepas bencana.

Pegawai Daerah Segamat, Rashid Sihes ketika membentangkan rumusan satu daripada tiga bengkel yang diadakan berkata, pusat kawasan operasi bencana, bilik gerakan, logistik, pusat-pusat pemindahan dan pusat penyimpanan bekalan makanan harus memiliki tanda aras untuk mengetahui sejauh mana tahap keupayaan masing-masing menghadapi bencana.

Selain daripada logistik kerajaan sedia ada, dicadangkan supaya semua bot-bot swasta didaftarkan dan dipastikan lengkap dengan ciri-ciri keselamatan.

Jika terdapat bantuan logistik dari negeri lain, tempoh ia dapat sampai ke kawasan yang terlibat dengan bencana haruslah dipastikan supaya ia dapat sampai dalam tempoh masa yang diperlukan, katanya.

Bagi membolehkan pasukan penyelamat dapat sampai ke lokasi dengan pantas pula, semua pasukan keselamatan perlu dizonkan dan diberi petunjuk arah yang arif dengan kawasan berkenaan.

Turut dirumuskan ialah agar pasukan keselamatan yang diperturunkan kuasa oleh "Incident Commander" mestilah ditempatkan di pusat-pusat pemindahan untuk mengetuai pusat pemindahan dan menjamin kesinambungan tugas dan kesahihan sumber maklumat.

Polis pula mesti mempunyai kaedah yang lebih baik dalam mengemaskini data berkaitan dengan bencana manakala penggunaan alat perhubungan dan ICT dimestikan bagi menjamin ketepatan maklumat dan dalam tempoh masa yang singkat.

Pusat Pemindahan Banjir perlu diumumkan lebih awal untuk makluman orang ramai selain memastikan kapasiti, kesesuaian, kemudahan seperti bilik air, tempat solat dan sebagainya menepati keperluan asas.

Jabatan Kebajikan Masyarakat dikehendaki merangka borang pendaftaran yang mudah difahami serta membangunkan sistem pendaftaran yang kemas dan berkesan.

Pendaftaran perlu dilakukan segera dan telus bagi mengelakkan pertindihan nama mangsa sementara pendaftaran untuk mangsa yang terdiri daripada warga asing hendaklah dibuat menggunakan borang khas.

Bantuan pula hendaklah disalurkan melalui Tabung Bencana Negeri atau Tabung Bencana Daerah dan bukannya secara terus kepada mangsa kerana itu boleh mencetuskan rasa tidak puas hati terutamanya daripada segi pengagihan.

Pegawai Daerah Kota Tinggi, Norizan Kulob yang membentangkan satu lagi rumusan bengkel berkata, kursus dan latihan harus diberikan kepada petugas yang terbabit dalam kerja-kerja bantuan dan sukarela menghadapi bencana banjir.

Petikan sumber Laman Web Rasmi Pejabat Menteri Besar

Analisis Kajian

Kumpulan Srikandi telah menemuramah seramai 26 orang pemilik kedai dan seramai 9 orang pekerja. Responden terdiri daripada 15 orang perempuan dan 20 orang lelaki. Responden juga terdiri daripada 22 orang berbangsa Melayu, 4 orang berbangsa Cina , 4 orang berbangsa India dan 5 lain-lain. Jumlah kesemua responden yang berjaya ditemuramah oleh kumpulan kami ialah sebanyak 35 orang responden. Tajuk borang soal selidik kami ialah "Impak Banjir Ke Atas Sektor Ekonomi Bandar".

Keseluruhan maklum balas yang kami terima menyatakan bahawa banjir yang berlaku pada kali ini merupakan banjir yang paling besar pernah berlaku di Kota Tinggi. Jenis pemilikan perniagaan yang banyak dijalankan ialah kedai pakaian iaitu sebanyak 10 kedai pakaian terdapat di bandar Kota Tinggi. Kebanyakan peniaga menyewa premis perniagaan mereka iaitu seramai 22 0rang responden daripada 35 orang responden menyewa premis perniagaan mereka. Para peniaga menyewa premis perniagaan mungkin kerana mereka tidak mampu untuk membeli premis perniagaan tersebut. Rata-rata peniaga juga telah menjalankan aktiviti perniagaan mereka selama lima tahun di bandar Kota Tinggi. Data ini diperolehi melalui soal selidik sewaktu menjalankan kerja lapangan.

Selain itu, kerugian yang paling tinggi dicatatkan ialah lebih daripada RM100,000 dan kerugian sebanyak itu kebanyakannya ditanggung oleh para peniaga pakaian. Pendapatan para peniaga di bandar Kota Tinggi selepas berlakunya banjir pula dilihat menurun. Hal ini mungkin kerana dalam tempoh terdekat ini para penduduk masih lagi dalam trauma akibat daripada banjir yang berlaku dan mempunyai bekalan makanan serta pakaian yang mencukupi hasil daripada bantuan yang diberikan. Para peniaga menyatakan bahawa mereka menerima bantuan daripada pelbagai pihak dan bantuan paling banyak diterima ialah daripada pihak kerajaan manakala pihak swasta merupakan penyumbang paling sedikit dicatatkan. Pihak swasta sepatutnya bekerjasama untuk menolong mangsa-mangsa banjir, dan ini merupakan tanggungjawab sosial korporat mereka terhadap masyarakat. Terdapat juga peniaga yang langsung tidak mendapat bantuan dari mana-mana pihak.

Para peniaga juga menyatakan bahawa kebanyakan barang atau peralatan perniagaan tidak dapat diselamatkan iaitu seramai 27 0rang responden daripada 35 0rang responden tidak dapat menyelamatkan barang dagangan mereka kerana mereka tidak berada di tempat kejadian sewaktu banjir berlaku. Selepas kejadian banjir, kebanyakan peniaga adalah terdiri daripada peniaga baru yang menjalankan aktiviti tersebut, dimana seramai 31 orang responden adalah peniaga baru daripada 35 orang responden. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh peniaga lama telah serik untuk menjalankan kembali perniagaan mereka dan mereka juga tidak mempunyai modal yang mencukupi untuk meneruskan perniagaan selepas banjir kedua melanda. Dari segi psikologi pula para peniaga mengalami trauma dimana seramai 33 orang responden menyatakan mereka trauma akibat daripada banjir yang berlaku.

Para peniaga menyatakan mereka sanggup meneruskan perniagaan selepas banjir melanda adalah disebabkan tuntutan hidup dan juga permintaan terhadap pelbagai pasaran di bandar Kota Tinggi. Permintaan yang tinggi terhadap pelbagai pasaran barangan di bandar tersebut telah menarik ramai peniaga baru untuk mencuba nasib selepas bencana alam tersebut. Jualan murah dilakukan untuk menarik minat para pembeli untuk membeli barangan selepas kejadian tersebut. Barang-barang yang masih boleh digunakan dijual dengan harga yang murah oleh peniaga untuk mendapatkan pusingan modal. Persediaan para peniaga terhadap banjir yang mungkin akan berlaku pada masa hadapan ialah dengan membina stor di tingkat atas kedai masing-masing untuk mengelakkan kerugian besar yang bakal berlaku serta sebarang kemungkinan yang tidak diduga. Peniaga juga berharap agar pihak-pihak terbabit menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin demi mengelakkan kejadian ini dari berulang pada masa hadapan.

Sumber Data

Sumber data yang digunakan oleh kumpulan Srikandi sewaktu menjalankan kerja lapangan ialah melalui data primer dan data sekunder.

Data primer ialah hasil daripada maklum balas pihak responden(35 responden) yang dilakukan di lapangan melalui kaedah menemuramah. Data sekunder pula ialah perolehan data dari Majlis Pegawai Daerah Kota Tinggi iaitu tentang :

- Jumlah kerugian perniagaan
- Bantuan yang telah diberikan
- Langkah yang telah dilaksanakan, sedang
dilaksanakan dan akan dilaksanakan.

Harapan Mangsa Banjir

Hasil kerja lapangan yang dijalankan di Kota Tinggi, maklum balas pihak responden yang ditemuramah, menyatakan harapan mereka terhadap pihak terbabit dalam usaha meningkatkan mutu sistem perparitan di kawasan mereka. Hal ini kerana sistem perparitan yang terdapat di bandar tersebut adalah kurang memuaskan. Keadaan sistem perparitan yang cetek dan selalu tersumbat menyebabkan air melimpah ke kawasan kediaman apabila hujan turun. Harapan dari pihak responden juga supaya sistem perparitan di selenggara dengan mengikut jadual supaya masalah banjir ini dapat di atasi pada masa hadapan.

Selain daripada itu, keadaan sungai Johor yang cetek menyebabkan masalah banjir berlaku setiap tahun di negeri ini. Sungai Johor juga tidak dapat menampung jumlah atau kuantiti air yang banyak apabila tiba musim tengkujuh iaitu pada bulan Disember hingga Januari setiap tahun. Perhatian telah diberikan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) hasil daripada maklumat yang diberikan oleh pihak responden. Semasa kajian penyelidikan dijalankan pihak JPS telah menjalankan kerja-kerja mendalamkan sungai Johor.

Tindakan yang diambil ini bertujuan bagi menampung jumlah air hujan apabila tiba musim tengkujuh. Di samping itu pihak responden berharap supaya mereka dapat menerima bantuan yang sewajarnya dengan telus tanpa sikap memilih kasih. Pembahagian bantuan perlu dilakukan degan lebih efisien dan bersistematik. Selain itu, pihak-pihak berkenaan yang menjalankan aktiviti pengagihan bantuan harus memberikan maklumat yang lebih jelas tentang cara atau pihak-pihak mana yang sepatutnya berhak mendapat bantuan yang di berikan. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan sebarang pergaduhan dan salah faham tentang cara pembahagian tersebut. Penambahan bilangan kakitangan pihak yang mengagihkan bantuan juga perlu dilakukan dalam usaha mengelakkan kelewatan bantuan yang sepatutnya diterima oleh mangsa banjir.Kesimpulannya, kajian penyelidikan yang telah saya dan ahli kumpulan jalankan telah mencapai objektif yang disasarkan.

Banjir..........

Banjir, satu perkataan yang amat sinonim di kawasan utara dan pantai timur menjelang musim tengkujuh. Punca berlakunya banjir adalah seperti bentuk muka bumi dan juga kesan daripada kegiatan manusia itu sendiri. Bentuk muka bumi dikatakan sedikit sebanyak telah telah mempengaruhi masalah banjir. Kawasan rendah seperti yang terdapat di utara dan pantai timur telah menyebabkan banjir berlaku. Tetapi jika dilihat masalah banjir jarang sekali berlaku akibat daripada bentuk muka bumi.

Sejak akhir-akhir ini Malaysia seringkali dilanda banjir sama ada banjir biasa atau banjir kilat. Banjir kilat seringkali berlaku di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur kerana masalah pembangunan yang tidak terancang. Pembinaan bangunan dan kawasan kediaman di tempat yang tidak strategik mengundang masalah banjir kilat berlaku. Selain itu, pembianaan longkang yang cetek tidak dapat menampung kuantiti air hujan dalam sesuatu masa jika hujan berlanjutan dalam masa dua atau tiga jam tanpa henti. Banjir-banjir besar juga melanda di negeri-negeri seluruh Malaysia. Contohnya Johor, banjir besar telah berlaku sebanyak dua kali di Kota Tinggi dalam masa tidak sampai tiga bulan. Banjir tersebut telah berjaya melumpuhkan bandar Kota Tinggi yang juga dikenali sebagai bandar pelancongan.

Banjir ini sama sekali telah telah memusnahkan banyak tempat tinggal di sekitar bandar tersebut. Masalah saliran yang tidak diselenggara dengan baik oleh pihak berkenaan telah menyebabkan banjir ini berlaku. Faktor lain seperti sikap tidak bertanggungjawab penduduk yang membuang sampah ke dalam sungai atau longkang mengundang masalah ini dari terus berlaku. Masalah sikap ini telah lama membelenggu masyarakat Malaysia di segenap lapisan masyarakat.

Rakyat Malaysia harus sedar akan tanggungjawab bersama untuk menjaga alam sekitar. Tanpa kesedaran ini adalah sukar untuk mengani masalah banjir yang berlaku.

Impak Terhadap Banjir Yang Berlaku

Banjir yang berlaku di Kota Tinggi telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap para penduduk setempat. Kehilangan harta benda akibat dihanyutkan arus deras banjir membebankan mereka untuk meneruskan kehidupan. Banjir besar yang melanda sebanyak dua kali telah melumpuhkan bandar Kota Tinggi yang lebih dikenali dengan bandar pelancongan. Para peniaga yang kebanyakannya terdiri daripada peniaga pakaian, alat elektrik, kedai runcit dan lain-lain menyatakan bahawa kerugian yang ditanggung adalah tinggi dan membebankan. Para peniaga trauma untuk memulakan kembali perniagaan kerana takut masalah ini berulang kembali, tetapi apakan daya mereka terpaksa meneruskan perniagaan untuk menyara kehidupan masing-masing. Pinjaman terpaksa dilakukan untuk memelukan perniagaan selepas banjir berlaku. Wang ehsan yang diterima tidak mencukupi kerana mereka terpaksa mambahagikan wang tersebut untuk kerja-kerja pembaikan rumah dan kedai yang dimiliki, sedangkan wang yang tidak seberapa itu juga digunakan untuk meneruskan kehidupan.

Kesan terhadap alam sekitar pula ialah Sungai Johor manjadi cetek akibat daripada banjir yang berlaku. Hal ini kerana sampah sarap yang hanyut bersama dengan kayu atau perabot milik orang awam yang musnah akibat daripada arus deras banjir telah mencetekkan sungai tersebut. Banyak jalan telah rosak serta kemudahan awam yang disediakan oleh kerajaan juga musnah akibat dari banjir yang berlaku.

Keprihatinan orang ramai, kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan telah meringankan beban para penduduk di sekitar bandar Kota Tinggi. Banyak barang-barang keperluan didermakan kepada mangsa-mangsa banjir. Kerajaan negeri juga telah menjalankan langkah berjaga-jaga dengan usaha mencetekkan Sungai Johor. Selain itu longkang-longkang yang cetek telah didalamkan oleh pihak yang berkenaan dalam usaha untuk menangani masalah banjir pada masa hadapan. Kerjasama telah dijalankan oleh pihak kerajaan negeri dan badan bukan kerajaan iaitu membina petempatan yang jauh dari tebing Sungai Johor. Apabila petempatan itu siap dibina, penduduk di sekitar dan sepanjang Sungai Johor akan dipindahkan ke petempatan baru mereka.

Kegiatan Ekonomi di Kota Tinggi

Ekonomi merupakan salah satu kegiatan terpenting dalam memajukan sesebuah negeri atau negara. Kegiatan ekonomi adalah berbeza mengikut sumber dan permintaan yang terdapat di sesuatu kawasan. Jika kawasan tersebut terletak di dalam kawasan bandar maka terdapat berbagai jenis kegiatan ekonomi dijalankan untuk memenuhi permintaan. Begitu juga di Kota Tinggi, bandar ini merupakan bandar pelancongan dan mempunyai banyak daya tarikan . Oleh itu terdapat berbagai kegiatan ekonomi yang berkaitan dengan aktiviti pelancongan dijalankan di sini. Bandar Kota Tinggi menawarkan kegiatan ekonomi berkaitan dengan perniagaan pakaian kerana permintaan terhadap barangan tersebut adalah tinggi. Kedudukan Kota Tinggi yang strategik merupakan satu kelebihan kerana ramai pelancong dari luar negara seperti Singapura sanggup datang kerana tawaran harga yang murah di bandar tersebut.

Tetapi sejak banjir besar melanda Kota Tinggi pada akhir tahun 2006, kegiatan ekonomi di bandar tersebut telah lumpuh serta merta. Oleh kerana tertarik dengan kegiatan ekonomi yang terdapat di Kota Tinggi dan kesan atau impak terhadap kegiatan tersebut adalah tinggi selepas banjir berlaku kumpulan kami telah bersetuju untuk melakukan soal selidik berkaitan "Impak Banjir Ke Atas Sektor Ekonomi Bandar" di Kota Tinggi.