Wednesday, October 24, 2007

Banjir : Tiada Gelombang Ketiga

Oleh: NURUL HUDA HASSAN

PULAU PINANG 16 Jan. – Gelombang ketiga banjir di Johor dijangka tidak berlaku kerana hujan lebat yang berlaku beberapa hari lalu diramal tidak akan berterusan terutama menjelang akhir bulan ini.

Pensyarah Geografi dan Hidrologi Pusat Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, Dr. Main Rindam berkata, banjir buruk ketika ini yang berpunca daripada fenomena cuaca melampau, akan berakhir dalam beberapa hari lagi.

‘‘Apabila masuk Februari, negara kita sudah panas berikutan perubahan suhu Khatulistiwa dalam sistem monsun dan ini bermakna, gelombang ketiga tidak akan berlaku.

‘‘Hujan di Johor adalah satu kejadian ekstrem yang terjadi disebabkan gelombang pertama memang dipengaruhi oleh angin monsun timur laut dan kedua disebabkan wujudnya angin panas daripada Khatulistiwa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Menurutnya, kedudukan Johor yang terletak di penghujung Banjaran Titiwangsa menyebabkan angin panas Khatulistiwa berpotensi bertembung dengan angin sejuk dari Siberia sehingga menyebabkan hujan terlalu lebat yang menjadi punca kepada banjir buruk kali ini.

Sebanyak 109,000 mangsa banjir dipindahkan di Johor kelmarin, menjadikan bencana alam itu sebagai antara paling buruk berlaku dalam sejarah negara sehingga menyebabkan kerajaan bersedia mengisytiharkan darurat sekiranya keadaan menjadi semakin teruk.

Bagaimanapun, jumlah mangsa itu berkurangan kepada 87,000 orang pada petang ini.

Dalam pada itu, Main turut menyalahkan sistem perparitan serta pembangunan yang tidak terancang menjadi punca utama banjir teruk berlaku di Johor kali ini terutama di Kota Tinggi.

Beliau yakin 60 hingga 70 peratus banjir disebabkan kegagalan menyediakan sistem perparitan yang sempurna dan mampu meminimumkan kesan bencana alam itu seperti yang dibuktikan Singapura walaupun turut menerima hujan yang lebat.

‘‘Pengurusan sistem saliran yang tidak betul, sistem sungai yang tidak bagus serta perancangan pembangunan yang tidak bijak menjadi punca utama berlakunya banjir teruk itu.

‘‘Jika kita lihat, sesebuah kawasan itu dibangunkan secara kluster iaitu secara berunit-unit dan ia tidak berpandukan kepada satu sistem di mana satu pelan menyeluruh melibatkan semua tempat mengikut piawaian yang sama disediakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar negara mempunyai pihak pengurusan yang seragam bagi memastikan susun atur pembangunan dibuat dengan mengambil kira bentuk muka bumi serta laluan aliran sungai dan bukannya secara sesuka hati.

Beliau memberikan contoh bagaimana banjir tidak pernah berlaku di Venice di Itali yang juga dibina di kawasan perairan kerana pembangunan di kawasan itu dibuat secara terancang dengan mengikut aliran sungai sedangkan projek pembangunan di negara ini tidak mengambil kira aspek berkenaan.

Sehubungan itu, pihak yang ingin membangunkan sesuatu kawasan itu diingatkan supaya mengambil kira faktor alam.

‘‘Sebagai contoh, jika ingin bangunkan kawasan rendah, infrastrukturnya perlulah mengikut piawaian kemungkinan berlaku banjir seperti bangunan yang bertiang,” ujarnya.

No comments: