Wednesday, October 24, 2007

Analisis Kajian

Kumpulan Srikandi telah menemuramah seramai 26 orang pemilik kedai dan seramai 9 orang pekerja. Responden terdiri daripada 15 orang perempuan dan 20 orang lelaki. Responden juga terdiri daripada 22 orang berbangsa Melayu, 4 orang berbangsa Cina , 4 orang berbangsa India dan 5 lain-lain. Jumlah kesemua responden yang berjaya ditemuramah oleh kumpulan kami ialah sebanyak 35 orang responden. Tajuk borang soal selidik kami ialah "Impak Banjir Ke Atas Sektor Ekonomi Bandar".

Keseluruhan maklum balas yang kami terima menyatakan bahawa banjir yang berlaku pada kali ini merupakan banjir yang paling besar pernah berlaku di Kota Tinggi. Jenis pemilikan perniagaan yang banyak dijalankan ialah kedai pakaian iaitu sebanyak 10 kedai pakaian terdapat di bandar Kota Tinggi. Kebanyakan peniaga menyewa premis perniagaan mereka iaitu seramai 22 0rang responden daripada 35 orang responden menyewa premis perniagaan mereka. Para peniaga menyewa premis perniagaan mungkin kerana mereka tidak mampu untuk membeli premis perniagaan tersebut. Rata-rata peniaga juga telah menjalankan aktiviti perniagaan mereka selama lima tahun di bandar Kota Tinggi. Data ini diperolehi melalui soal selidik sewaktu menjalankan kerja lapangan.

Selain itu, kerugian yang paling tinggi dicatatkan ialah lebih daripada RM100,000 dan kerugian sebanyak itu kebanyakannya ditanggung oleh para peniaga pakaian. Pendapatan para peniaga di bandar Kota Tinggi selepas berlakunya banjir pula dilihat menurun. Hal ini mungkin kerana dalam tempoh terdekat ini para penduduk masih lagi dalam trauma akibat daripada banjir yang berlaku dan mempunyai bekalan makanan serta pakaian yang mencukupi hasil daripada bantuan yang diberikan. Para peniaga menyatakan bahawa mereka menerima bantuan daripada pelbagai pihak dan bantuan paling banyak diterima ialah daripada pihak kerajaan manakala pihak swasta merupakan penyumbang paling sedikit dicatatkan. Pihak swasta sepatutnya bekerjasama untuk menolong mangsa-mangsa banjir, dan ini merupakan tanggungjawab sosial korporat mereka terhadap masyarakat. Terdapat juga peniaga yang langsung tidak mendapat bantuan dari mana-mana pihak.

Para peniaga juga menyatakan bahawa kebanyakan barang atau peralatan perniagaan tidak dapat diselamatkan iaitu seramai 27 0rang responden daripada 35 0rang responden tidak dapat menyelamatkan barang dagangan mereka kerana mereka tidak berada di tempat kejadian sewaktu banjir berlaku. Selepas kejadian banjir, kebanyakan peniaga adalah terdiri daripada peniaga baru yang menjalankan aktiviti tersebut, dimana seramai 31 orang responden adalah peniaga baru daripada 35 orang responden. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh peniaga lama telah serik untuk menjalankan kembali perniagaan mereka dan mereka juga tidak mempunyai modal yang mencukupi untuk meneruskan perniagaan selepas banjir kedua melanda. Dari segi psikologi pula para peniaga mengalami trauma dimana seramai 33 orang responden menyatakan mereka trauma akibat daripada banjir yang berlaku.

Para peniaga menyatakan mereka sanggup meneruskan perniagaan selepas banjir melanda adalah disebabkan tuntutan hidup dan juga permintaan terhadap pelbagai pasaran di bandar Kota Tinggi. Permintaan yang tinggi terhadap pelbagai pasaran barangan di bandar tersebut telah menarik ramai peniaga baru untuk mencuba nasib selepas bencana alam tersebut. Jualan murah dilakukan untuk menarik minat para pembeli untuk membeli barangan selepas kejadian tersebut. Barang-barang yang masih boleh digunakan dijual dengan harga yang murah oleh peniaga untuk mendapatkan pusingan modal. Persediaan para peniaga terhadap banjir yang mungkin akan berlaku pada masa hadapan ialah dengan membina stor di tingkat atas kedai masing-masing untuk mengelakkan kerugian besar yang bakal berlaku serta sebarang kemungkinan yang tidak diduga. Peniaga juga berharap agar pihak-pihak terbabit menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin demi mengelakkan kejadian ini dari berulang pada masa hadapan.

No comments: