Wednesday, October 24, 2007

Johor Siap Siaga Hadapi Banjir

SUDAH tentu tiada sesiapa pun menginginkan dua banjir besar yang melanda pada penghujung tahun lepas dan awal tahun ini berulang. Pengalamannnya sungguh memeritkan manakala kerugian yang dialami amat besar jumlahnya.

Memang benar kita tidak dapat menahan hujan lebat dan berterusan namun kita diberi akal untuk mengurus limpahannya. Bertolak daripada itu, Johor mengorak langkah awal membuat persiapan agar lebih bersedia menghadapi kemungkinan berulangnya bencana berkenaan.

Semua kelemahan daripada pengalaman lalu dianalisa dan dirumuskan dengan langkah-langkah penting mengatasinya termasuklah daripada segi logistik, usaha menyelamat, pengurusan pusat pemindahan, bekalan makanan dan operasi bilik gerakan serta pengumpulan maklumat.

Semua ini diperincikan dalam Seminar Pengurusan Bencana Negeri Johor yang dihadiri Menteri Besar sendiri, wakil-wakil rakyat, jentera pentadbiran Kerajaan Negeri, Polis, Tentera, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan kepimpinan pada peringkat akar umbi.

Ia dianjurkan bagi memastikan sekiranya sudah tertulis negeri ini, sekali lagi diduga dengan musibah seperti itu, situasi akan menjadi lebih tersusun, keperluan mangsa serta logistik mencukupi, kehilangan nyawa dapat dielak, kerugian dapat dikurangkan selari dengan kata pepatah "sediakan payung sebelum hujan".

Banjir besar itu telah menyebabkan kemusnahan harta benda dan infrastuktur awam yang dianggarkan bernilai RM1.5 bilion dan kini, kerja-kerja pemulihan sedang giat dijalankan.

Turut dicadangkan pada bengkel itu ialah pusat pengurusan dan penyelarasan sumbangan kepada mangsa serta mewujudkan pusat koordinasi bantuan dan sumbangan selepas bencana.

Pegawai Daerah Segamat, Rashid Sihes ketika membentangkan rumusan satu daripada tiga bengkel yang diadakan berkata, pusat kawasan operasi bencana, bilik gerakan, logistik, pusat-pusat pemindahan dan pusat penyimpanan bekalan makanan harus memiliki tanda aras untuk mengetahui sejauh mana tahap keupayaan masing-masing menghadapi bencana.

Selain daripada logistik kerajaan sedia ada, dicadangkan supaya semua bot-bot swasta didaftarkan dan dipastikan lengkap dengan ciri-ciri keselamatan.

Jika terdapat bantuan logistik dari negeri lain, tempoh ia dapat sampai ke kawasan yang terlibat dengan bencana haruslah dipastikan supaya ia dapat sampai dalam tempoh masa yang diperlukan, katanya.

Bagi membolehkan pasukan penyelamat dapat sampai ke lokasi dengan pantas pula, semua pasukan keselamatan perlu dizonkan dan diberi petunjuk arah yang arif dengan kawasan berkenaan.

Turut dirumuskan ialah agar pasukan keselamatan yang diperturunkan kuasa oleh "Incident Commander" mestilah ditempatkan di pusat-pusat pemindahan untuk mengetuai pusat pemindahan dan menjamin kesinambungan tugas dan kesahihan sumber maklumat.

Polis pula mesti mempunyai kaedah yang lebih baik dalam mengemaskini data berkaitan dengan bencana manakala penggunaan alat perhubungan dan ICT dimestikan bagi menjamin ketepatan maklumat dan dalam tempoh masa yang singkat.

Pusat Pemindahan Banjir perlu diumumkan lebih awal untuk makluman orang ramai selain memastikan kapasiti, kesesuaian, kemudahan seperti bilik air, tempat solat dan sebagainya menepati keperluan asas.

Jabatan Kebajikan Masyarakat dikehendaki merangka borang pendaftaran yang mudah difahami serta membangunkan sistem pendaftaran yang kemas dan berkesan.

Pendaftaran perlu dilakukan segera dan telus bagi mengelakkan pertindihan nama mangsa sementara pendaftaran untuk mangsa yang terdiri daripada warga asing hendaklah dibuat menggunakan borang khas.

Bantuan pula hendaklah disalurkan melalui Tabung Bencana Negeri atau Tabung Bencana Daerah dan bukannya secara terus kepada mangsa kerana itu boleh mencetuskan rasa tidak puas hati terutamanya daripada segi pengagihan.

Pegawai Daerah Kota Tinggi, Norizan Kulob yang membentangkan satu lagi rumusan bengkel berkata, kursus dan latihan harus diberikan kepada petugas yang terbabit dalam kerja-kerja bantuan dan sukarela menghadapi bencana banjir.

Petikan sumber Laman Web Rasmi Pejabat Menteri Besar

1 comment:

Anonymous said...

Lucky Club Lucky Club Casino Site - Lucky Club
Lucky Club luckyclub.live Lucky Club is a new online gaming site launched in 2018 by Grup Gaming. The site offers its users with unique casino games. The site has a long